panduanmuet

Tutor

registration tutor online

Rahsia Lulus Temuduga Kerja Kerajaan

Jumaat, 29 Mei 2009

berkongsi info berkenaan serangan jantung

Doktor Jantung: Kolesterol halang darah

Bersama Dr Haizal Haron Kamar


DUA minggu lalu kita bercerita mengenai jantung dan betapa bertuahnya kita mempunyai organ yang istimewa, bekerja keras tanpa mengira siang atau malam, tidak pernah mengeluh kepenatan serta tidak berhenti berdenyut walau seketika.Namun seperti organ lain, ia boleh mengalami masalah jika tidak dijaga. Berikut adalah beberapa perkara penting yang sering ditanya mengenai serangan jantung.

1. Bagaimanakah ia terjadi?
2. Apakah bahaya serangan jantung?
3. Apakah gejala serangan jantung?
4. Siapakah yang berisiko?
5. Apakah cara untuk diagnos serangan jantung?
6. Apa perlu dilakukan ketika serangan jantung?
7. Apakah rawatan yang ada ketika terjadinya serangan jantung?
8. Bagaimana mencegah ia daripada berlaku?

Untuk ruangan minggu ini, saya akan menghuraikan persoalan 1, 2 dan 3.

Bagaimana serangan jantung terjadi?

Arteri koronari adalah pembuluh darah yang mengelilingi jantung dan membawa di dalamnya darah yang kaya oksigen serta nutrien ke otot-otot jantung. Ini penting untuk jantung berfungsi dengan sempurna.Dengan pembentukan plak di dinding dalam arteri akibat proses aterosklerosis (pengumpulan lemak atau kolesterol pada dinding dalam salur darah), ruang di dalam arteri menjadi sempit dan mengganggu perjalanan darah.

Sakit di dada (angina pectoris) berlaku apabila darah tidak sampai ke otot jantung ketika melakukan aktiviti cergas, tetapi kembali normal selepas berehat beberapa minit.Bagaimanapun, plak berkenaan boleh menjadi tidak stabil dan pecah disebabkan faktor tertentu. Ini menghasilkan trombosis atau gumpalan darah beku.Ia berlaku secara tiba-tiba dan menutupi seluruh arteri lalu menghalang perjalanan darah. Otot jantung yang terbabit akan mengalami kerosakan.

Cuba bayangkan sebatang sungai besar yang mengalir di sebuah ladang epal yang subur. Apabila aliran air sungai tersekat, pokok epal akan layu dan mati. Begitu juga yang berlaku pada otot-otot jantung.Sel otot jantung ini akan mati akibat ketandusan darah. Fenomena yang berlaku dipanggil serangan jantung atau infarksi miokardium.

Apakah bahaya serangan jantung?

Tahukah anda, penyakit kardiovaskular adalah pembunuh nombor satu di Malaysia dan kebanyakan negara di dunia?Pernahkah anda terfikir, serangan jantung dan penyakit kardiovaskular adalah pembunuh nombor satu wanita – hampir lima kali ganda lebih tinggi berbanding barah payudara?

Serangan jantung adalah penyebab utama kematian mengejut. Kejadian ini berlaku apabila jantung berhenti berdenyut secara tiba-tiba atau mengalami fibrilasi ventricular akibat kerosakan pada jantung.

Tahukah anda, lebih kurang 50 peratus kematian akibat serangan jantung terjadi dalam masa satu jam dan hampir semuanya sebelum sempat tiba di hospital?Bagi yang ‘terselamat’, segolongan besar mengalami penyakit lemah jantung atau kegagalan fungsi jantung akibat kerosakan teruk otot-otot jantung.Ini dimanifestasikan dengan keadaan kaki yang mudah bengkak dan kesesakan nafas ketika rehat atau melakukan aktiviti.

Apakah gejala serangan jantung?

Serangan jantung boleh berlaku secara tiba-tiba. Ia sering berlaku pada awal pagi ketika tidur, tetapi ia juga boleh terjadi pada bila-bila masa dan di mana saja, sama ada ketika melakukan aktiviti atau berehat.Kira-kira 50 peratus pesakit yang alami serangan jantung tidak mempunyai tanda awal.

Bagi mereka, ini gejala pertama penyakit jantung koronari. Oleh itu, kita wajar mengetahui gejala serangan jantung iaitu:

Sakit di dada. Jantung sebenarnya terletak di bahagian tengah dada dan bukan di kiri, tetapi sakit dialami sering membabitkan keseluruhan dada.Ia seperti satu cengkaman kuat atau perasaan berat di dada. Ia kadangkala merebak ke bahagian atas dada hingga ke leher dan gusi atau ke tangan kiri atau kanan.

Simptom berkaitan yang mungkin berlaku ketika sakit dada adalah kesesakan nafas, berpeluh yang sejuk, rasa lemah badan dan pening.

Ada segolongan pesakit yang tidak mempunyai gejala klasikal seperti di atas. Ada yang hanya mengalami kesesakan nafas atau sakit di bahagian lain di badan.

Saya teringat kes ketika saya baru menjadi doktor, di mana pesakit yang menghidap serangan jantung dihantar ke wad pembedahan kerana simptomnya yang ketara adalah sakit di perut.

Ada pula kes di mana pesakit saya pergi ke doktor gigi terlebih dulu disebabkan sakit gusi, tanpa rasa sakit di dada.

Ada pula yang tidak mengalami kesakitan di dada atau apa-apa simptom. Ini sering didapati pada pesakit yang mengidap diabetes.Kadangkala sukar untuk tahu sama ada gejala dialami adalah disebabkan serangan jantung, terutama mereka yang tidak mengalami simptom klasikal.

Jika tidak pasti, segera ke hospital berdekatan. Usah bertangguh untuk menjalani pemeriksaan. Ingat, setiap masa sangat berharga dan jika dibiarkan, ia boleh merosakkan jantung dan mengorbankan nyawa.Kita akan meneliti aspek serangan jantung yang lain pada ruangan akan datang. Mari kita bersama-sama mengambil berat mengenai kesihatan jantung.

Tiada ulasan:

Catat Ulasan